|
Muharram & Asshura Pada 15hb Mac 2002, kita akan menyambut tahun baru hijrah iaitu 1 Muharram 1423. Tahun Baru Hijrah tidak disambut seperti kedatangan tahun masihi 2002 baru-baru ini. Kedatangannya disedari hanya disebabkan oleh cuti umum pada hari tersebut. Sebagai umat Islam kita sepatutnya memperingati hari-hari kebesaran kita dan jangan terbawa-bawa oleh ideologi orang-orang kafir. Kita perlu mengetahui kelebihan-kelebihan dan peristiwa-peristiwa bulan-bulan Hijrah supaya kita dapat mengambil peluang bagi meningkatkan ketakwaan kita terhadap Allah SWT dan serta mencari keredaanNya. Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, "Seutama-utama puasa sesudah puasa bulan Ramadan ialah puasa bulan Muharram dan seutama-utama solat sesudah solat fardu ialah solat malam". (Sahih Muslim) Amalan Pada Akhir Tahun dan 1 Muharram. Sayugianya pada hari terakhir bulan Zulhijjah dan pada 1 Muhharam dengan membaca:1. Doa akhir tahun sebelum Maghrib dan di awal tahun selepas Maghrib.2. Selepas solat subuh pada 1 Muharram sayugianya dibacakan Ayatul Kursi sebanyak 360 kali dengan membaca Bismillahirrahmaanirrahim pada setiap kali permulaan bacaan. Insya Allah barangsiapa yang mengamalkannya, akan diberikan keselamatan dan dipelihara dari sebarang musibah dan kesempitan rezeki. Sesudah selesai hendaklah dibacakan doa yang bersesuaian.Amalan-amalan yang disunatkan pada malam tersebut:a) Qiamullail - Solat Tahajjud, Solat Hajat, Solat Sunat Taubatb) Membaca Al-Quran c) Zikir Asyura - Abul-Laits Asssamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Ibnu Abbas r.a berkata: Nabi SAW. bersabda yang bermaksud; Barangsiapa yang berpuasa pada hari Asyura yakni 10 Muharram, maka Allah akan memberikan kepadanya pahala 10,000 malaikat; dan barangsiapa yang puasa pada hari Asyura, maka akan diberikan pahala 10, 000 orang Haji dan Umrah, dan 10, 000 orang mati syahid; dan siapa yang mengusap kepala anak yatim pada hari Asyura, maka setiap helai rambut Allah akan menaikkan satu darjat. Dan barangsiapa yang memberi makan buka puasa seorang mukmin yang berpuasa pada hari Asyura, maka seolah-olah memberi buka puasa semua umat Muhammad SAW. dan mengenyangkan perut mereka. Sahabat bertanya; Ya, Rasulullah, Allah telah melebihkan hari Asyura dari lain-lain hari. Jawab Rasulullah: Benar!.
Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Muhammad bin Maisarah berkata; Rasulullah SAW bersabda, “Bahawa siapa yang melapangkan pada keluarganya pada hari Asyura, maka Allah akan meluaskan rezekinya sepanjang tahun itu.”Said bin Jubair dari Ibn Abbas r.a. berkata; Ketika Nabi SAW. baru hijrah ke Madinah, didapati kaum Yahudi berpuasa pada hari Asyura; maka ditanyakan kepada mereka tentang itu. Jawab mereka; "Hari itu Allah memenangkan Nabi Musa a.s. dari Bani Israil terhadap Fir'aun dan kaumnya. Maka kami puasa kerana mengagungkan hari ini". Maka sabda Nabi SAW.; "Kami lebih layak mengikuti jejak Musa dari kamu", maka Nabi SAW menyuruh sahabat supaya berpuasa.Abu Musa Al Madani meriwayatkan dari Ibnu Umar r.a.; "Barangsiapa yang berpuasa pada hari Asyura adalah seperti berpuasa setahun dan siapa yang bersedekah pada hari Asyura adalah bagiku bersedekah setahun." (Riwayat Albazzar) Dari Abu Qatadah Al-Anshari r.a. katanya Rasulullah s.a.w. ditanya orang tentang puasa hari Arafah. Jawab baginda, "Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan yang akan datang". Kemudian Nabi ditanya pula tentang puasa hari Asyura. Jawab baginda, "Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu". (Sahih Muslim)Rasulullah s.a.w. bersabda; "Berpuasa kamu pada hari ke sembilan dan sepuluh Muharam dan jangan meniru cara orang-orang Yahudi." - Riwayat Al Baihaqi. Semoga Allah melimpahkan rezeki dan limpah kurniaNya untuk kita agar dapat mengamalkan dan memuliakan kedatangan Awal Muharram dengan cara sambutan yang dilaksanakan oleh para Rasul, Ambiya, Siddiqin, Aulia Allah dan orang-orang Sholihin. Moga tahun ini akan lebih baik dari tahun yang lepas dalam kontek kita mendekatkan diri dengan sumber segala kekuatan, keindahan, kasih sayang dan kebahagiaan iaitu Allah SWT.
|
|||
No Copyright:Any organisation or individual wishing to reprint or copy the contents of this website may do so as long as the information is kept in its original form, names of all authors and sources are kept intact and articles are used for non-malicious purposes. An acknowledgement to this site (daawah.com) would be appreciated. |
|||