|
LAILATULQADAR
MALAM YANG DINANTI OLEH MUKMIN
10 akhir Ramadan adalah
merupakan di antara malam-malam yang penuh dengan keberkatan dan kelebihan
yang tertentu. Malam-malam ini adalah merupakan malam yang ditunggu-tunggu
oleh seluruh orang mukmin. Bulan Ramadan, Al Quran dan malam Lailatulqadar
mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang
diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah s.a.w.
Tidak
perlu ada kesangsian tentang ujudnya Lailatul Qadar kerana firman Allah di
dalam surah Al-Qdar yang maksudnya: "Sesungguhnya kami menurunkan
Al-Quran pada malam Lailatulqadar dan apakah yang menyebabkan engkau mengerti
apa itu Lailatulqadar. Lailatulqadar lebih baik daripada 1000 bulan. Pada
malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan
mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar".
Diriwayatkan
oleh Ali bin Aurah pada satu hari Rasulullah telah menyebut tentang 4 orang
Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka
sedikitpun tidak derhaka kepada Allah lalu para sahabat kagum dengan perbuatan
mereka itu. Lalu Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah bahawa Allah
w.s.t. menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah
Al Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah anugerah Allah ini adalah lebih
baik daripada apa yang engkau kagumkan dan ini menjadikan Rasulullah s.a.w.
dan para sahabat amat gembira.
Daripada
ayat di atas dapatlah kita ketahui bagaimana besar kelebihan orang yang
beribadah pada malam lailatulqadar. Ianya satu malam menyamai beramal 1000
bulan.
Rasulullah
s.a.w. melakukan ibadah pada malam itu bukan hanya setakat baginda sahaja
tetapi baginda menyuruh ahli keluarga bangun bersama beribadah. Kata Aisyah
r.a. maksudnya: "Nabi s.a.w. apabila masuk 10 akhir bulan Ramadan baginda
mengikat kainnya. Menghidupkan malam dengan beribadah dan membangunkan
keluarganya untuk sama-sama beribadah. Mengikat kainnya bermaksud
bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah."
Kelebihan
Menghayati Malam Lailatulqadar
Kerana
mulianya Lailatulqadar, Rasulullah s.a.w. menganjurkan supaya umatnya bersedia
menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan pelbagai jenis amalan
dan ibadah yang diterangkan di antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Abu
Hurairah r.a. Maksudnya: "Barangsiapa menghayati malam Lailatulqadar
dengan mengerjakan sembahyang dan berbagai jenis ibadat yang lain sedang ia
beriman dan mengharapkan rahmat Allah taala nescaya ia diampunkan dosanya yang
terdahulu.
Rasulullah
s.a.w. sendiri menjadi contoh yang baik yang menghayati malam lailatulqadar
terutama 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadan dengan beriktikaf di
Masjid mengerjakan pelbagai amal ibadah untuk menyambut malam Lailatulqadar
yang mulia. Ini diterangkan di dalam satu hadis diriwayatkan daripada Aishah
r.a. Katanya: Maksudnya: "Biasanya Rasulullah s.a.w. berusaha dengan
bersungguh-sungguh memperbanyakkan amal ibadah pada 10 malam yang akhir
daripada bulan Ramadan berbanding dengan masa yang lain."
Dalam
hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda
bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatulqadar pada
malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadan
Malam-malam
yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan
Ramadan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa
malam Lailatulqadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah s.a.w. pada
malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadan. Terdapat juga
hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. menjawab pertanyaan
seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya
bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah
malam 27 Ramadan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat
kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu
tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadan.
Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan
oleh Allah s.w.t. supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir
daripada Ramadan dengan amal ibadat. Kerana dengan cara itulah sahaja
mudah-mudahan akan dapat menemuinya dan dapat pula rahmat yang diharapkan yang
akan menjadikan seseorang itu hidup bahagia di dunia mahupun di akhirat.
|
|||
No Copyright:Any organisation or individual wishing to reprint or copy the contents of this website may do so as long as the information is kept in its original form, names of all authors and sources are kept intact and articles are used for non-malicious purposes. An acknowledgement to this site (daawah.com) would be appreciated. |
|||