|
Israk
Pembersih Hati
PERISTIWA
Israk Mikraj yang dialami Rasulullah s.a.w. ribuan tahun dahulu, ketika ini
tetap segar dalam ingatan orang-orang yang beriman, kerana ia diperingati
setiap tahun.
Peristiwa
yang berlaku hanya dalam tiga suku malam itu sudah cukup untuk memberikan
pengajaran bukan sahaja kepada Baginda Rasulullah s.a.w., malah kepada seluruh
umatnya sehingga ke hari kiamat.
Mengingati
dan mempelajari semua peristiwa Israk Mikraj bukan hanya sekadar mengulangi
cerita-cerita itu seperti mengulangi cerita-cerita legenda yang kosong dan
usang. Tetapi sebenarnya peristiwa yang dialami Nabi Besar SAW kita adalah
merupakan peristiwa yang amat bererti, yang pada kenyataan dan simboliknya
merupakan kisah dan peristiwa umat manusia sendiri dalam menjalani liku-liku
hidupnya di semua peringkat masa dan tahapnya.
Kehidupan
manusia dimulai dan sentiasa diwarnai oleh hatinya sendiri. Tingkah laku,
tutur kata dan segala gerak gerinya adalah merupakan refleksi hati nuraninya.
Hati nuraninya sentiasa mencorakkan perbuatannya, tindakannya dan keseluruhan
amalannya.
Sekiranya
hati nuraninya hitam dan kotor, maka perbuatannya juga akan menjelma dalam
bentuk yang kotor dan cemar. Demikianlah sebaliknya, apabila hati nuraninya
bersih dan suci, maka kelakuannya juga akan menjadi baik dan murni.
Hal
inilah yang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya yang termasyhur
tentang seketul daging dalam diri manusia yang memberi kesan besar kepada
keseluruhan jasadnya, sama ada menjadi baik atau menjadi rosak, bergantung
kepada keadaan seketul daging itu yang dikenali sebagai hati nurani.
Peristiwa
Israk memperlihatkan keadaan ini pada peringkat yang paling awalnya, iaitu
sebelum Rasulullah s.a.w dibawa menjelajahi perjalanan malam yang dipenuhi
berbagai-bagai peristiwa dan gelagat manusia iaitu ketika baginda didatangi
malaikat Jibrail.
Malaikat
Jibrail menjelma di hadapan baginda, dan baginda dibelah dadanya, lalu
dibersihkan dadanya dengan air zamzam sebagai persiapan bagi baginda untuk
seterusnya mengikuti perjalanan malam yang bakal menyaksikan seribu satu
gelagat umatnya dalam menghadapi perintah dan larangan Allah s.w.t. iaitu sama
ada mematuhinya atau mengingkarinya.
Membersihkan
dada tentunya mengandungi makna dan lambangnya yang tersendiri, kerana
membersih dada bukanlah sekadar membasuh sesuatu yang lahir dari kekotoran dan
najis, tetapi membersih dan mencuci keseluruhan dada dalam pengertian lahir
dan batin, luaran dan dalamannya.
Dada
dalam takrifan maknawinya adalah merangkumi perasaan, emosi, akal fikiran,
wawasan, bisikan hati dan sebagainya. Maka dada dalam pengertian ini
melambangkan hati nurani manusia yang sering mendorong manusia untuk bersikap
positif atau negatif, menurut kehendak nafsu melulu dan menimbangkan segala
tindakannya secara rasional atau sebaliknya, malah menjadikannya manusia yang
baik atau manusia yang rosak.
Pada
hati nurani manusialah terletaknya diri manusia itu keseluruhannya, sebab
itulah ketika Rasulullah s.a.w. akan dibawa seterusnya dalam perjalanan
malamnya ini, maka persiapan yang dilakukan ialah membersihkan dadanya yang
melambangkan hati dan perasaan, pemikiran dan minda, untuk menyaksikan
kehidupan dunia yang penuh pancaroba ini dengan penuh ikhtibar dan pengajaran.
Manusia
sendiri sebelum mengenali dunia iaitu ketika ia berada dalam perut ibunya
sebagai bayi maka ia akan dipastikan kesihatannya yang normal dengan diperiksa
denyutan jantung dan nadinya. Jantung yang berdenyut secara sistematik dan
teratur, memberi gambaran tentang keadaan kesihatannya yang sebenar, dan
demikianlah sebaliknya.
Di
dalam menghadapi liku-liku hidup pada semua peringkatnya, manusia amat
bergantung kepada pemikiran dan perasaannya untuk menjelma menjadi manusia
yang berguna atau sebaliknya. Pemikiran dan perasaan serta pandangan hidup
yang berada dalam diri dan jiwa raga manusia itu sendiri sebenarnya yang
merencanakan tindakan dan kelakuannya.
Bagaimanapun
dalam mempertingkatkan pemikiran dan pandangan hidup manusia, satu proses
pendidikan yang teratur haruslah dilakukan dengan penuh teliti. Membasuh dada
Baginda Rasulullah s.a.w. dengan air zamzam merupakan satu proses cucian yang
dilakukan dengan satu formula dan 'bahan cucian' yang kudus dan mulia.
Mendidik
hati nurani dan pandangan hidup manusia yang tinggi dan mulia, juga memerlukan
bahan yang baik dan terpilih. Proses pendidikan manusia haruslah mempunyai
matlamat untuk melahirkan orang-orang yang berguna dunia akhirat, yang dapat
membezakan di antara nafsu buruk dan baik, perasaan emosi melulu dan
pertimbangan akal yang rasional, keimanan dan ketakwaan atau dosa dan durjana.
Semuanya
ini tidak mungkin dilakukan tanpa panduan yang baik dari ajaran yang
diwahyukan Allah dan dari pemikiran manusia sendiri yang diterokai oleh akal
fikiran mereka berasaskan dasar-dasar umum ajaran Allah itu. Proses pendidikan
yang berdasarkan teori cuba-cuba (trial and error) ternyata gagal memberikan
hasil yang positif dan konkrit.
Sebaliknya
teori ini melahirkan manusia yang kecewa dan separuh mantap. Di sinilah agama
mengambil peranannya dalam membentuk keperibadian manusia melalui nilai-nilai
moral dan akhlak, dan dasar umum yang meletakkan asas-asas penting tentang
makna dan konsep manusia, iblis, dunia, akhirat, dosa, pahala, halal, haram
dan sebagainya.
Air
suci zamzam yang digunakan untuk membersih dada Rasulullah s.a.w. melambangkan
formula rohani dan jasmani yang harus digunakan untuk membersih dan membangun
hati nurani dan pandangan hidup manusia.
Manusia
harus dibekalkan dengan berbagai-bagai unsur duniawi dan ukhrawi bagi
mempersiapkan dirinya mengharungi kehidupan dunia yang penuh cabaran ini, juga
dalam persiapannya menuju hari akhirat yang memerlukan amal soleh hasil dari
kemantapan iman dan takwa.
Kegawatan
hidup di dunia ini dan kekecohan yang berlaku dalam masyarakat manusia di
Timur dan di Barat, adalah akibat dari tindakan dan sikap manusia sendiri yang
dipenuhi dengan tuntutan-tuntutan nafsu badani yang tidak bertepi. Sikap
menyembah benda secara melulu sehingga menimbulkan salah laku yang menjelma
dalam sifat gelojoh, tamak haloba, tipu muslihat, tindas menindas, tidak
mengenal belas kasihan, tidak bertimbang rasa, semuanya merupakan manifestasi
sifat buruk yang lahir dari orang-orang yang menghidap 'penyakit hati' yang
disifatkan Allah sebagai golongan manusia yang munafik dan kufur nikmat.
Sudah
sewajarnyalah hati manusia dibersihkan dengan sebaik-baiknya dengan basuhan
yang bukan hanya suci, tetapi kudus, agar kekotoran yang dibasuh, bukan hanya
kekotoran lahiriah, fizikal dan jasmani, tetapi lebih daripada itu ialah
membersihkan kekotoran dalaman, rohani dan jiwa.
Hati
dan jiwa yang bersih dan cekal, rohani yang mantap dan kuat, dapat mengatasi
segala cabaran, baik yang merupakan cabaran kebendaan atau kejiwaan.
Hari
ini kita menghadapi cabaran getir dalam perekonomian dan kebendaan, di samping
cabaran sosial dan moral yang memerlukan benteng ketahanan diri yang perkasa.
Hari
ini kita dapat melihat ramai orang yang binasa akibat cabaran benda dan jiwa,
cabaran sosial dan moral. Ramai orang yang terjebak ke dalam perangkap gejala
sosial dan kebendaan, dan ramai pula yang tidak tahu kepada siapa yang harus
dituju untuk mengatasi krisis yang melanda diri mereka, malah ajaran mana yang
harus diambil sebagai panduan hidup supaya berbahagia dan damai.
Jadi,
alangkah baiknya dalam mengingati peristiwa Israk ini, kita dapat mengambil
pelajaran yang amat baik, yang berlaku kepada Nabi kita, yang walau pun telah
menjadi manusia sempurna dan agung, tetapi sebagai manusia biasa, Baginda
perlu dipersiapkan dengan sebaik-baiknya untuk menjalankan misi dan tugasnya
sebagai pemimpin, pemandu dan contoh yang unggul untuk manusia seluruhnya.
Sekurang-kurangnya kita dapat mempelajari peringkat pertama peristiwa Israk, iaitu membersihkan hati nurani sebersih-bersih yang mungkin, sebelum menjelajahi seluruh peristiwa itu selengkapnya yang terlalu banyak memberi kita pengajaran dan keinsafan. |
|||
No Copyright:Any organisation or individual wishing to reprint or copy the contents of this website may do so as long as the information is kept in its original form, names of all authors and sources are kept intact and articles are used for non-malicious purposes. An acknowledgement to this site (daawah.com) would be appreciated. |
|||