HAJI
MABRUR DAN PENCAPAIANNYA MENURUT KACAMATA ISLAM
PENDAHULUAN
Haji adalah merupakan ibadat fardhu yang
diwajibkan, tetapi kewajipan haji agak berlainan dengan ibadat-ibadat yang
lain dari segi konsep dan kefardhuannya, di mana ibadat haji hanya
diwajibkan ke atas umat Islam yang berkemampuan mengunjungi Baitullahil
Haram di Makkah. Ada pun orang-orang yang tidak berkemampuan dari segi
perbelanjaan, kesihatan tubuh badan dan keselamatan perjalanan, maka tidak
diwajibkan atau dengan ertikata lain tidak dikira salah kerana tidak
melakukannya. Firman Allah dalam surah Aali Imran ayat 97 yang bermaksud
:-
" Dan
Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi
Baitullah iaitu siapa yang mampu sampai kepadanya "
MANUSIA DAN IBADAT HAJI
Rata-rata umat Islam mengakui tentang
kewajipan ibadat Haji yang difardhukan, jika ada umat Islam yang menentang
dan mengingkari kefardhuannya maka kufurlah ia.
Walau bagaimana pun, umat Islam pada
keseluruhannya berkaitan dengan ibadah haji ini terbahagi kepada beberapa
golongan :
- Golongan yang berkemampuan untuk
mengerjakan ibadah Haji sehingga mereka telah mengerjakannya beberapa kali
dan berkemampuan untuk mengerjakannya beberapa kali lagi jika mereka mahu.
- Golongan yang hanya berkemampuan untuk
menunaikan ibadah Haji walaupun sekali sahaja dalam hidupnya, samada telah
dikerjakan atau akan dikerjakan.
- Golongan yang langsung tidak berkemampuan
untuk menunaikan ibadah Haji walaupun sekali dalam hidup sedangkan
keinginan dan cita-cita tetap ada.
- Golongan yang berkemampuan dari segi
perbelanjaan dan seumpamanya tetapi belum lagi mengerjakan ibadat Haji dan
tidak pernah terlintas untuk mengerjakannya walaupun ia telah
berkesempatan ke tempat-tempat lain yang lebih jauh daripada itu.
Golongan yang keempat inilah yang
dibimbangi akan mati sebagai seorang Yahudi atau Nasrani. Ini berdasarkan
hadis Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Al Hakim daripada Saidina
Ali yang bermaksud :
"
Sesiapa yang memiliki perbelanjaan yang melebihi dari keperluannya dan
mencukupi untuk perbelanjaan menunaikan ibadah Haji serta mempunyai
kenderaan yang boleh membawanya ke Baitullah dan tidak mengerjakan Haji,
maka tidak ada apa yang menghalangnya dari mati sebagai seorang Yahudi
atau Nasrani "
TINGKATAN IBADAH HAJI
Hampir sama seperti ibadah sembahyang dan
puasa, ibadah Haji mempunyai empat
peringkat yang berbeza :-
- Haji Mardud
Haji mardud ialah haji yang tidak diterima olah Allah SWT
lantaran kerana kekurangan syarat-syarat dan rukunnya atau sebab-sebab
yang lain yang menyebabkan hajinya tidak diterima atau ditolak oleh Allah
SWT.
- Haji Maqbul
Ialah haji yang sah dan diterima oleh Allah SWT dan orang
yang mengerjakan haji maqbul ini dianggap sebagai telah menunaikan
perintah Allah dan telah menyempurnakan rukun Islam yang ke lima tanpa
diberi ganjaran pahala.
- Haji
Makhsus
Ibadah haji yang dikerjakan oleh orang-orang yang tertentu yang sempurna
segala syarat dan rukunnya, ia bukan sahaja sekadar dianggap sah dan
diterima oleh Allah tetapi diampunkan segala dosanya. Haji ini termasuk ke
dalam apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh
Bukhari, Ibnu Majah, An-Nasai dan Ahmad daripada Abu Hurairah yang
bermaksud :
"
Sesiapa yang menunaikan ibadah Haji, tidak ia melakukan keburukan dan
kekejian, maka kembalilah ia seperti hari yang dilahirkan oleh ibunya
"
- Haji Mabrur
Inilah tingkatan haji yang paling tinggi dan istimewa, tidak semua boleh
mendapatkannya. Haji ini bukan sahaja sekadar dianggap menunaikan
kewajipan, tetapi selain dari diampunkan segala dosanya, ia juga akan
dimasukkan ke dalam syurga. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh
At-Tabrani daripada Abdullah b. Abas yang bermaksud :
" Haji
mabrur itu, tidak ada balasan baginya melainkan Syurga "
PENGERTIAN
HAJI MABRUR
Haji adalah ibadah khusus, salah satu di
antara rukun yang ke lima. Mengikut pengertian syarak, haji ialah
mengunjungi Baitullahil Haram dalam bulan-bulan haji kerana mengerjakan
tawaf, sai'e dan wukuf di Arafah dengan syarat yang tertentu dan
menunaikan segala perkara -perkara yang wajib yang berkaitan dengannya.
Adapun perkataan "MABRUR"
di segi pengertian bahasanya ialah perbuatan yang tidak ada syubahat atau
keraguan padanya atau hanya diertikan dengan makna yang diterima.
Makna Haji Mabrur pada istilah ialah haji
yang diterima dan balasannya yang luarbiasa iaitu Syurga, manakala
lawannya ialah Haji Mardud iaitu haji yang
ditolak dan tidak diterima.
SYARAT-SYARAT
HAJI MABRUR
Untuk mencapai tingkatan haji yang mabrur,
tidak semudah seperti yang disangkakan tetapi tidak mustahil untuk
mendapatkannya. Ia memerlukan beberapa syarat yang tertentu berdasarkan
masa-masa tertentu.
Sebelum Menunaikan Haji
Ada beberapa perkara yang seharusnya
diperbetulkan sebelum berangkat menunaikan fardhu haji iaitu :
- Niat
Niat semata-mata kerana Allah, jangan sekali dicampur-adukkan dengan
perasaan riak dan takbur. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh
Bukhari dan Muslim daripada Umar Al-Khattab yang bermaksud "
Sesungguhnya segala perbuatan itu bergantung kepada niat, dan sesungguhnya
bagi setiap seorang itu apa yang diniatkan "
- Wang Perbelanjaan
Wang yang digunakan untuk tujuan keperluan bagi menunaikan ibadat Haji
hendaklah daripada wang yang halal, jangan sekali dicampur-adukkan dengan
sesuatu yang haram atau yang syubahat.
- Kewajipan Yang
Sempurna
Setelah cukup syarat yang mewajibkan seseorang itu menunaikan Haji tanpa
memaksa diri sendiri untuk menunaikan haji sebelum ia berkemampuan untuk
sampai kepadanya.
Semasa Mengerjakan Haji
Semasa mengerjakan Haji juga perlu menjaga
beberapa perkara :
- Menyempurnakan segala rukun-rukun Haji
- Menyempurnakan segala perkara-perkara wajib Haji
- Membayar segala jenis dam yang dikenakan
- Tidak melakukan larangan ketika berihram
Haji seperti persetubuhan, kemaksiatan dan kemungkaran. Firman Allah SWT
dalam Surah Al-Baqarah ayat 197 yang bermaksud :
" Masa
untuk mengerjakan Ibadah Haji itu ialah beberapa bulan termaklum, oleh
yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya dengan niat
mengerjakan Ibadah Haji itu, maka tidak boleh mencampuri dan tidak boleh
membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan Haji
"
Selepas Menunaikan Haji
Orang yang telah menunaikan Haji, dianggap
telah membersihkan dirinya daripada segala dosa dan kesalahan, setelah
menunaikan Ibadah Haji khasnya setelah kembali ke Tanah Air maka beberapa
perkara perlu diawasi :
- Mengekalkan diri sentiasa dalam keadaan
bersih dari sebarang noda dan dosa dengan menjauhkan perkara-perkara
mungkar yang dilarang.
- Memperbanyakkan amal soleh untuk
meningkatkan iman dan ketaqwaan
- Memperbaiki diri ke arah yang lebih
sempurna di segi akhlak dan kelakuan
Dengan terlaksananya segala apa yang
dinyatakan seperti di atas, maka besar kemungkinan seseorang itu akan
mencapai ke tahap Haji Mabrur yang diidamkan oleh setiap pengunjung
Baitullahil Haram.
PENUTUP
Dengan huraian yang ringkas ini, diharap
akan dapat memberikan satu gambaran tentang Haji Mabrur dan pencapaiannya
atau sekurang-kurangnya dapat dijadikan sebagai panduan untuk mencapai
Haji Mabrur.
Didoakan semoga kita semua akan dikurniakan
taufik dan hidayah serta kemampuan untuk melaksanakan Ibadah Haji dengan
sempurna dan penuh ketaqwaan, terhindar dari sifat riak yang merosakkan
amalan.
Kepada Allah diserahkan segala urusan dan
kepada Allah dipohonkan ganjaran di atas setiap amal yang dikerjakan.